Saturday, April 7, 2007

BEBERAPA HUKUM BERKAITAN HAJI DAN UMRAH

Aassalamu`aalaikum warahmatullahi wabarakaatuh.

Untuk pengetahuan anda, terdapat font bahasa arab dalam mesej ini . Sekiranya arabic font tak kelihatan...yang kelihatan hanya lah unknown font ada cara untuk melihat paparan yang ditulis dengan arabic font itu dengan syarat menggunakan internet explorer 5 atau lebih tinggi lagi. Caranya ialah:

click view,

kemudian select encoding,

setelah itu select more dan click arabic window.

Insha ALLAH anda akan dapat melihat paparan atau tulisan yang ditulis dengan bahasa arab.

PERINGATAN KEPADA YANG MENANGGUHKAN MENGERJAKAN HAJI TANPA SEBAB.

HUKUM MENGERJAKAN HAJI DAN `UMRAH

Haji dan `Umrah hanya diwajibkan sekali sahaja seumur hidup. Ini berdasarkan sabda Rasulullah Sallallaahu `alaihi wasallam dalam hadith sahih: “Haji itu hanya sekali ( wajibnya ). Barang siapa menambahkannya ( mengerjakan lebih dari sekali ), maka itu adalah tatawwu' (amalan sunnah atas kerelaan sendiri). “

Berdasarkan ayat dan hadith di atas, `ulama fiqh رحمهم الله sepakat menyatakan bahawa `ibadah haji wajib dilaksanakan setiap mukmin yang mempunyai kemampuan biaya, tubuh badan dan waktu ( zaman sekarang ini quota boleh dimasukkan kedalam syarat kemampuan kerana kalau kita daftar tahun ini untuk mengerjakan haji mungkin 4 tahun lagi baru boleh pergi ). tetapi mereka berbeza pendapat tentang bilakah kewajiban itu dimulai, adakah boleh ditunda atau wajib dilaksanakan segera setelah mampu. Imam Abu Hanifah, Imam Abu Yusuf ( sahabat dan murid Imam Abu Hanifah ), `ulama Mazhab Maliki dan pendapat yang terkuat di kalangan Mazhab Hanbali rahimahumullaah menyatakan bahawa apabila seseorang telah mampu dan memenuhi syarat, wajib terus mengerjakan `ibadah haji dan tidak boleh ditunda ('alal faur).

Jika pelaksanaannya ditunda sehingga beberapa tahun, maka orang tersebut dihukumkan fasiq, kerana penundaan tersebut termasuk maksiat. Jika pelaksanaan haji itu ditunda, kemudian wangnya habis, maka orang tersebut menurut mereka, mesti meminjam wang orang lain untuk mengerjakan `ibadah haji itu, kerana waktu wajib baginya telah ada tetapi dia telah menundanya.

Dalil `ulama yang menyatakan bahawa pelaksanaan ibadah haji tidak boleh ditunda bagi orang yang telah mampu dan memenuhi syarat adalah firman ALLAH dalam surah Aali 'Imran ayat 97 dan surah al-Baqarah ayat 196 seperti yang telah dijelaskan sebelum ini.

Tuntutan untuk mengerjakan `ibadah haji itu adalah tuntutan yang sifatnya segera, oleh itu tidak boleh ditunda. Dalil lain yang mereka kemukakan ialah sabda Nabi Sallallaahu `alaihi wasallam :

" Bersegeralah kamu kerjakan ` ibadah haji, kerana tidak seorang pun diantara kamu yang tahu apa yang akan terjadi kepadanya nanti.” ( HR Ahmad bin Hanbal rahiahullaah dari Ibnu Abbas Radhiallaahu `anhuma ) .

Bahkan dalam hadith lain Rasulullah Sallallaahu `alaihi wasallam seakan-akan mengecam orang yang menunda `ibadah hajinya. Rasulullah Sallallaahu `alaihi wasallam bersabda :

" Sesiapa yang tidak dalam keadaan sakit, tidak dalam kesulitan yang mendesak atau tidak dihalangi penguasa yang zalim tetapi dia tidak mengerjakan ` ibadah hajinya, jika dia mati maka terserah kepadanya memilih samada ingin mati dalam keadaan beragama Yahudi atau Nasrani ." ( HR Sa'id bin Mansur, Ahmad bin Hanbal, Abu Ya'la, dan Al-Baihaqi Rahimahumullah dari Abu Umamah Radhiallaahu `anhu tetapi salah seorang periwayatnya dhaif).

Hadith yang sama juga diriwayatkan oleh Imam At Tirmizi Rahimahullah , yang mana seorang perawinya juga dhaif.

Sa`id didalam sunannya , meriwayatkan dari `Umar Al Khattab radhiallaahu`anhu, bahawa dia berkata :

“ Aku bertekad mengutus beberapa orang utusan pergi ke wilayah-wilayah , memeriksa mereka yang mempunyai harta yang cukup namun tidak mahu mengerjakan haji, untuk membayar jizyah kerana mereka bukan muslim , mereka bukan muslim . “

Menurut mazhab Syafi'i , Ath Thauri, Al Auzaa`ie dan Muhammad bin Hasan asy-Shaibani rahimahumullaah , kewajiban haji itu boleh ditangguhkan ( 'alat-taraakhi ) , ertinya boleh dilaksanakan disetiap waktu dan tidaklah berdosa menangguhkannya asal sahaja dikerjakan sebelum dia meninggal dunia tetapi jika memang sudah mampu dianjurkan ( disunatkan ) segera mengerjakannya dengan maksud agar tanggung jawab atau kewajipannya lepas.

Oleh sebab itu, menurut mereka, pelaksanaan `ibadah haji bagi yang telah mampu dan memenuhi syarat boleh ditunda. Alasan mereka ialah Nabi Sallallaahu `alaihi wasallam sendiri menunda pelaksanaan `ibadah haji sehingga tahun ke-10 Hijriah ( HR. al-Bukhari dan Muslim rahimahumallaah ), sedangkan kewajipan `ibadah haji telah disyariatkan pada tahun 6 Hijriah. Menurut mereka, ayat tentang kewajipan melaksanakan haji, iaitu surah al-Baqarah ayat 196-197 diturunkan pada tahun ke-6 Hijriah.

Menurut pendapat `Ulama` Shaafie` رحمهم الله , `ibadah haji difardhukan pada tahun ke 6 hijrah setelah turun ayat : واتموا الحج والعمرة لله

Sempurnakanlah haji dan `umrah kerana الله .

Dimaksudkan dengan sempurnakanlah di sini, ialah kerjakanlah atau laksanakanlah.

Manakala jumhur ( kebanyakan ) `ulama` رحمهم الله berpendapat bahawa `ibadah haji disyariatkan pada akhir tahun ke-9 Hijriah setelah turunnya firman الله :

ولله على الناس حج البيت من استطاع اليه سبيلا ومن كفر فإن الله غني عن العالمين

“ Dan الله mewajibkan ke atas manusia mengerjakan haji , bagi sesiapa yang mampu sampai kepadanya . Dan barang siapa mengingkari ( kewajiban haji ), maka sesungguhnya الله Maha Kaya ( tidak berhajat kepada sesuatu ) dari semesta alam . “ ( Aali `Imran : 97)

Ayat ini, menurut jumhur `ulama fiqh dan tafsir رحمهم الله diturunkan الله pada akhir tahun ke-9 Hijriah. Sedangkan Nabi صلى الله عليه وسلم hanya mengerjakan `ibadah haji pada tahun ke-10 Hijriah. Penundaan `ibadah haji ini, menurut mereka disebabkan adanya keuzuran ketika itu yang menghalang Rasulullah صلى الله عليه وسلم dan umatnya mengerjakannya pada tahun ke-9 Hijriah.

Halangan tersebut adalah kerana musim haji telah pun berlalu ketika ayat ini diturunkan oleh

الله sehingga `ibadah haji hanya dapat dilaksanakan pada tahun berikutnya (10 Hijriah). Oleh sebab itu, Rasulullah صلى الله عليه وسلم hanya sempat mengerjakan haji sekali sahaja pada tahun ke-10 Hijriah kerana setelah itu baginda صلى الله عليه وسلم wafat, sebagaimana yang disebutkan dalam hadith yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad bin Hanbal dan Imam Muslim رحمهما الله .

Seorang ahli penganalisis hadith, Al Imam Ibnul Qayyim رحمه الله menguatkan pendapat yang menetapkan, bahawasanya `ibadah haji difardhukan pada tahun ke 9 Hijrah, atau tahun ke 10 Hijrah, tahun Nabi صلى الله عليه وسلم mengerjakan haji yang kemudian dikenali dengan “ Hajjatul Wada “ .

Sebelum ini kita telah menjelaskan bahawa `ulama Mazhab Syafi'i رحمهم الله berpendapat bahawa `ibadah haji disyariatkan sejak tahun ke 6 Hijriah, berbeza dengan pendapat jumhur ( majority ) `ulama fiqh رحمهم الله yang menyatakan haji mula di fardhukan pada tahun ke-9 Hijriah. Di samping itu, menurut mereka, hadith-hadith yang menyatakan bahawa menunaikan `ibadah haji wajib dikerjakan segera jika telah mampu dan memenuhi syarat adalah hadith dhaif yang tidak boleh dijadikan landasan hukum. Oleh itu dengan berpandukan hadith-hadith ini imam Asy Syafi'i رحمه الله berpendapat " sunat " menyegerakannya.

Secara ringkasnya , hukum menyegerakan haji dan `umrah atau menangguhkannya setelah cukup syarat adalah seperti berikut : -

1.Wajib menyegerakannya.

2.Sunat menyegerakannya.

Apabila diteliti hujah masing-masing, kita dapati pendapat `ulama yang mengatakan wajib menyegerakannya dan tidak boleh ditangguh adalah pendapat yang terkuat . Oleh itu kita harap masyarakat umat islam Malaysia tidak lagi menangguhkan pemergian ke Makkah untuk mengerjakan haji dan `umrah, seperti yang berlaku sekarang .

Tujuan saya menyentuh masalah ini ialah kerana ada segelintir umat islam , apabila ditanya : “ Kenapa tak mahu kerjakan haji ? “ Mereka jawab : “ Masa masih panjang lagi, nantilah apabila tidak sibuk nanti , lagi pun boleh di tangguh .“ Kalau kita kata : “ Nanti mati tak sempat nak kerjakan haji . “ Mereka jawab : “ Tak mengapa kerana tidak wajib menyegerakannya , kalau aku mati pun waris akau boleh mengupah orang untuk mengerjakan haji untuk aku . “

Inilah dia mentaliti segelintir umat islam Malaysia yang memandang remeh masalah menyegerakan haji. Mereka tidak merasa gerun terhadap ancaman Nabi Sallallaahu `alaihi wasallam seperti hadith :

"Sesiapa yang tidak dalam keadaan sakit, tidak dalam kesulitan yang mendesak atau tidak dihalangi penguasa yang zalim tetapi dia tidak mengerjakan ` ibadah haji, jika dia mati terserah kepadanya memilih samada mati dalam keadaan beragama Yahudi atau Nasrani ."

Kalau pun mereka berpegang kepada pendapat mazhab Shafi`i tetapi mereka amat jauh sekali menyimpang dari amalan `ulama mazhab Shafi`i rahimahumullah yang tidak memandang ringan `ibadah sunat kerana ibadah sunat merupakan proses untuk mendampingkan diri kepada ALLAH . Malah `ulama mazhab Shafi`i rahimahumullah menganggap perkara yang sunat itu seolah-olah wajib walau pun mereka berfatwa hukumnya sunat. Begitu juga terhadap perkara yang makruh, mereka menganggapnya seolah-olah haram kerana makruh bererti yang dibenci oleh ALLAH . Itulah dia sikap `ulama mazhab Shafi`i dan `ulama mazhab yang lain dizaman silam rahimahumullaah kerana mereka mahu mencontohi Nabi Sallallaahu `alaihi wasallam yang sentiasa melakukan perkara yang sunat dan mewajibkanya untuk dirinya seperti Qiyamul lail , solat dhuha dan sebagainya.

Mentaliti umat islam terutamanya di Malaysia wajib diubah agar mereka tidak memandang ringan perkara-perkara sunat dan makruh. Ini merupakan tugas ahli-ahli agama untuk menyedarkan mereka. Lagi pun sekiranya ada dua pendapat diantara wajib dan sunat , maka adalah lebih baik kita mengambil pendapat yang mengatakan wajib kerana untuk berhati-hati ( ihtiat ) dan supaya lebih selamat. Begitu juga dengan makruh dan haram , adalah lebih baik kita menganggap haram.

BERAPA KALI NABI صلى الله عليه وسلم MENGERJAKAN `UMRAH ?

Ibnu `Abbas رضي الله عنه meriwayatkan bahawa Nabi صلى الله عليه وسلم dalam hidupnya mengerjakan `umrah empat kali:

1. `Umrah Hudaybiyah (gagal kerana dihadang musuh),

2. `Umrah qadha` (tahun berikutnya, saat pembebasan Makkah),

3. `Umrah dari Ji`raanah.

4. `Umrah bersama Haji Wada` ( qiran ).

Anas رضي الله عنه berkata : Rasulullah صلى الله عليه وسلم mengerjakan ` ibadah haji sekali dan `umrah empat kali.

1.`Umrah dalam bulan Dzulqa`idah 2.`Umrah Hudaybiyah .

2.`Umrah yang dikerjakan bersama ibadah haji.

4.`Umrah dari Ji`raanah ketika membahagikan harta rampasan perang Hunain.

( HR Al Bukhari dan Muslim رحمهما الله )

`Ibadah `umrah itu semuanya dikerjakan dalam bulan Dzulqa`idah, kecuali `ibadah `umrah yang dikerjakan bersama `ibadah Haji . `Ibadah `umrah tersebut ialah :

1. `Ibadah `umrah secara berihram dari Hudaibiah atau `ibadah`umrah yang dikerjakan sewaktu peristiwa perjanjian Hudaibiah dalam bulan Dzulqa`idah,

2. `Ibadah `umrah tahun berikutnya yang dikerjakan dalam bulan Dzulqa`idah,

3. `Ibadah `umrah secara berihram di Ji'raanah sewaktu Nabi sallallaahu `alaihi wasallam membahagi harta rampasan perang di Hunain, juga dalam bulan Dzulqa`idah

4.`Ibadah `umrah yang dikerjakan bersama `ibadah haji .

Antara haji dan `umrah terdapat perbezaan, samada dari segi hukum mengerjakannya, jenis amalan yang mesti dikerjakan ( manasik ) atau dari sudut waktu pelaksanaannya ; sekalipun `umrah boleh dikerjakan sebelum mengerjakan `ibadah haji secara beriringan dengan mengerjakan `ibadah haji atau sesudah melaksanakan `ibadah haji , namun demikian, setiap orang yang mengerjakan `ibadah haji boleh terus mengerjakan `umrah secara beriringan tetapi bukan semua orang yang ber`umrah boleh mengerjakan haji beriringan . Ini bermakna seseorang itu boleh mengerjakan `umrah di bulan-bulan haji dan boleh juga ber`umrah di bulan-bulan yang lain. Ini pernah dilakukan oleh `Umar رضي الله عنه kerana `Umar رضي الله عنه pernah ber`umrah di bulan Syawwal lalu kembali ke Madinah tanpa berhaji

Masyarakat Jahiliyyah menganggap bahawa ber`umrah di bulan haji merupakan kejahatan besar. Mereka mengatakan bahawasanya `umrah dilakukan setelah berakhirnya bulan Safar apabila telah selesai jejak kaki orang berhaji dan semua mereka telah kembali dari haji.

Setelah datang Islam Nabi صلى الله عليه وسلم menyuruh para sahabat رضي الله عنهم ber`umrah di bulan haji dan memasukkan `umrah ke dalam haji dan hal ini berlaku hingga qiamat.

MENGERJAKAN `UMRAH BERULANG KALI DALAM SETAHUN

Sebenarnya haji dan `umrah sudah pun terkenal di zaman jahiliyah. Masyarakat Jahiliyah bertawaf dengan bertelanjang. Apabila Islam datang, adat Jahiliyah yang keji ini dihapuskan, begitu juga dengan adat-adat dan kemungkaran yang lain.

`Ibadah haji juga terdapat dalam syari'at yang lain. Ada yang mengatakan bahawasanya Nabi Adam عليه السلام berulang kali mengerjakan haji. Jibri عليه السلام memberitahunya bahawa malaikat bertawaf mengelilingi Kaa`bah. Nabi Ishaq dan nabi-nabi yang lain عليهم السلام juga mengerjakan haji. Menurut sebahagian ulama رحمهم الله , semua Nabi عليهم السلام mengerjakan haji.

Di antara ayat-ayat yang menandakan bahawasanya haji telah pun ada dan di laksanakan sebelum Islam, adalah :

وإذ بوأنا لإبراهيم مكان البيت ألا تشرك بي شيئاً وطهر بيتي للطائفين والقائمين.والركع السجود

" Dan ingatlah ketika KAMI ( الله ) tempatkan untuk Ibrahim tempat Al BAIT, Kami titahkan: Hai Ibrahim ! janganlah engkau menyengutukan sesuatu dengan-KU dan sucikanlah rumah-KU untuk mereka yang tawaf, i'tikaf, ruku` dan sujud. " ( Al Hajj : 26 ).

Dan firman ALLAH :

" Serulah manusia wahai Ibrahim, tentang haji nescaya mereka akan datang kepadamu dari segenap penjuru. "( Al Hajj : 22 ).

Diriwatkanlah oleh Al Bukhari, Muslim dari Ash Sya'bi رضي الله عنه , ujarnya :

" Di Safa ada satu berhala yang dinamakan Asaf dan di Marwah ada satu patung yang dinamakan Naa ilah . Masyarakat jahiliyah bersa'i di antara keduanya " . Setelah Islam datamg , berhala-berhala itu disingkirkan dari situ. Umat Islam beranggapan bahawa orang-orang Jahiliyah bersa'i kerana berhala. Lantaran itu ummat Islam enggan bersa'i, maka الله menurunkan ayat :

إنَّ الصَّفَا وَالمَرْوَةَ مِنْ شَعَائِرِ اللهِ

" Sesungguhnya Safa dan Marwah adalah dari syi'ar-syi'ar الله " ( Al-Baqarah ;158 ).

Dalam sebahagian riwayat diterangkan bahawa ketika turun ayat haji :

ومن كفر فإن الله غني عن العالمين

“Dan barang siapa mengingkari ( kewajiban haji ), maka sesungguhnya الله Maha Kaya ( tidak berhajat kepada sesuatu ) dari semesta alam . “ ( Aali `Imran 3 : 97) Rasulullah صلى الله عليه وسلم mengumpulkan orang-orang musyrikin, Nasrani dan Yahudi, Majusi dan Saabi'in serta memberitahu mereka bahawasanya الله telah memfardhukan haji, dan hendak lah mereka semua berhaji. Perintah ini ditaati oleh Muslimin رحمهم الله dan ditolak oleh orang-orang Kafir.

Oleh itu turunlah firman

ومن كفر فإن الله غني عن العالمين

" Dan barang siapa yang kufur ( tidak mahu mengerjakan haji ), maka sesungguh nya الله Maha kaya dari semesta alam." (Aali Imran: 97 ).

Sebelum ini kita telah menjelaskan bahawa Nabi صلى الله عليه وسلم berhaji sekali sahaja iaitu pada tahun 10 Hijriah. Manakala para Muslimin رحمهم الله telah berhaji pada tahun 9 Hijriah iaitu sesudah Fathu Makkah ( Pembukaan dan pembebasan Makkah ). Sahabat yang dilantik mengetuai haji ketika itu ialah Abu Bakr رضي الله عنه .

Pada tahun tersebut Nabi صلى الله عليه وسلم bersama para sahabat رضي الله عنهم tidak turut serta kerana orang-orang musyrikin masih berpegang kepada perjanjian Hudaibiyah. Mereka masih masuk ke dalam masjid dan bertawaf dengan bertelanjang. Lantaran itu Nabiصلى الله عليه وسلم menunda hajinya selama satu tahun.

Pada tahun 9 Hijriah itu Nabi صلى الله عليه وسلم menyuruh `Ali menyusul Abu Bakr radhiallaahu `anhuma dan menyampaikan kepada khalayak yang berkumpul pada hari Nahar ( hariraya ) bahawa orang-orang musyrikin tidak dibenarkan berhaji lagi pada tahun akan datang dan tidak boleh lagi bertawaf dengan bertelanjang.

Dengan demikian murnilah Kaa'bah sebagai tempat beribadah kepada الله dan murnilah Al Masjidil Haram untuk orang-orang yang mengerjakan tawaf, ruku' dan sujud.

Pada tahun 10 Hijriah Nabi صلى الله عليه وسلم mengerjakan haji yang kemudian terkenal dengan “ Hajjatul Wada “ ( Haji Selamat Tinggal atau Haji Perpisahan ). Haji yang dikerjakan Nabi

صلى الله عليه وسلم inilah yang menjadi pegangan kita dalam mempelajari ibadah haji dan `umrah.

Nafi` رحمه الله menerangkan , bahawa Abdullah Ibnu `Umar رضي الله عنه ber`umrah dua kali setiap tahun di masa pemerintahan Az Zubair رضي الله عنه .

Al Qassim menerangkan bahawa 'Aisyah رضي الله عنها ber`umrah dua kali dalam setahun. Ada orang bertanya adakah perbuatan 'Aaisyah رضي الله عنها itu dicela oleh sebahagian sahabat
رضي الله عنهم atau adakah yang mencelanya ? Al Qassim رحمه الله berkata : " Subhaanallaah ! tiada siapa yang mencela perbuatan Ummul Mu'minin radhiallaahu `anha. “

Demikianlah pendapat `Ulama رحمهم الله , disukai ber`umrah berulang kali dalam setahun seperti yang dilakukan oleh `Ali, Ibnu `Umar, Anas, Ibnu `Abbas dan `Aaishah

رضي الله عنهم , kerana Nabiصلى الله عليه وسلم bersabda : “Dari satu `umrah ke `umrah yang berikutnya adalah kaffarah ( pembersih dosa ) yang ada di antara keduanya.”( HR Ahmad, Al Bukhari dan Muslim رحمهم الله ).

Dan dari Ibnu Mas`ud رضي الله عنه , bahawa Rasulullah صلى الله عليه وسلم bersabda : " Iringilah ( susulilah ) antara haji dan `umrah kerana keduanya dapat menghilangkan kemiskinan dan dosa sebagaimana ahli logam membuang karat dari besi, perak, dan emas. Tiada lain pahala yang diterima haji yang mabrur kecuali syurga ." ( HR At Tirmidzi, Ibnu Khuzaimah dan Ibnu Hibban . Kata At Tirmidzi : hadith ini darjatnya hasan sahih ) .

kata Ibnu `Abbas Radhiallaahu `anhuma bahawa Nabi صلى الله عليه وسلم bersabda : “ Satu `umrah dalam bulan Ramadhan menyamai satu haji atau haji bersamaaku.“ ( HR Al Bukhari dan Muslim رحمهما الله ) .

Imam Malik رحمه الله pula tidak menyukai kita berihram lebih dari sekali dalam setahun.

Kata Ash Sheikh `Abdul `Aziz Bin Abdullah Bin Baz رحمه الله : “ Ada pun mengerjakan `umrah berulang kali selepas selesai mengerjakan haji dengan keluar untuk berihram ke Tan`im, Ji`raanah atau lainnya, sebagaimana yang dilakukan oleh sebahagian orang padahal sudah mengerjakan `umrah sebelum haji, tidak mempunyai satu dalil pun yang menunjukkan disyariatkan amalan ini. Bahkan nas-nas yang ada menunjukkan bahawa yang utama ialah meninggalkannya kerana Rasulullah صلى الله عليه وسلم dan para sahabat رضي الله عنهم tidak pernah melakukannya setelah mereka menyelesaikan haji , kecuali `Aaishah رضي الله عنها . Beliau mengerjakan `umrah adalah kerana beliau belum lagi mengerjakan `umrah bersama orang lain ketika masuk Makkah kerana datangnya haidh. Kerana keuzurannya beliau meminta izin Nabi صلى الله عليه وسلم untuk mengerjakan `umrah , sebagai ganti umrahnya yang telah diniatkan sejak dari Miqat dan Nabi صلى الله عليه وسلم mengizinkannya . Dengan demikian beliau telah mengerjakan `umrah sebanyak dua kali, iaitu `umrah yang dilakukan bersamaan dengan amalan hajinya dan `umrah secara tersendiri. Oleh itu sesiapa yang mempunyai kes sama seperti `Aaiahah رضي الله عنها maka tidak mengapa dia mengerjakan `umrah selepas selesai haji kerana mengamalkan hadith ini dan memberi keluasan kepada umat Islam . Namun begitu, tidak diragukan lagi, selain `umrah yang telah mereka lakukan ketika masuk Makkah , adalah menyusahkan orang ramai dan menyebabkan berasak-asakan serta boleh menyebabkan kecelakaan , di samping menyalahi sunnah Nabi صلى الله عليه وسلم . “

Shaikhul Ibnu Taimiah رحمه الله memakruhkan memperbanyakkan keluar dari Makkah untuk mengerjakan `umrah sunat dan ianya bid`aah kerana ittifaq ( sepakat ) `ulama rahimahullah menyatakan bahawa ianya tidak pernah dilakukan oleh Nabi صلى الله عليه وسلم , para sahabat dizamannya kecuali `Aaishah رضي الله عنهم kerana kesnya berlainan seperti yang telah diterangkan di atas. Menurut beliau lagi mengerjakan `umrah pada selain bulan-bulan haji adalah lebih afdhal dari ber`umrah dalam bulan-bulan haji dan yang afdhal ialah dalam bulan Ramadhan kerana hadith :

“ `Umrah dalam bulan Ramadhan menyamai satu haji .“ ( HR Al Bukhari dan Muslim رحمهما الله ) .

Manakala Ibnul Qayyim رحمه الله pula berpendapat bahawa ber`umrah dalam bulan-bulan haji lebih afdhal dari ber`umrah pada selain bulan-bulan haji .

Pendapatnya ini berasas kerana menurut pandangannya bahawa masyarakat Jahiliyyah menganggap bahawa ber`umrah di bulan haji merupakan kejahatan besar. Mereka mengatakan bahawasanya `umrah dilakukan setelah berakhirnya bulan Safar apabila telah selesai jejak kaki orang berhaji dan semua mereka telah kembali dari haji .

Ada pun mengerjakan umrah sebanyak 7 kali sebagaimana dilakukan oleh sesetengah orang adalah menyalahi sunnah. Yang lebih teruk lagi ialah beriktiqad bahawa mengerjakan 7 kali umrah menyamai satu haji kerana tiada hadith yang menerangkanya. Oleh itu hendaklah menjauhkan diri dari berikiqadkan sedemikian kerana di khuatiri menambahkan hadith palsu. Sabda Nabi Sallallaahu `alaihi wasallam : Baransiapa yang mengtakan ucapan yang bukan aku ucapkan maka sesungguhnya dia telah menempah sebuah kerusi dalam neraka ".

Adalah lebih baik sekiranya seseorang yang telah selesai mengerjakan umrah buat pertama kalinya megerjakan pula umrah untuk arwah yang telah meninggal dunia. Selepas itu memperbanyakkan tawaf di Baitullah kerana Allah Subhanahu wa Ta'ala memerintahkan kepada umat Islam agar mereka melaksanakan tawaf di Baitullah Ka’bah, sebagai rumah pertama yang dibinakan untuk manusia, di mana kaum muslimin berkumpul di tempat tersebut sebagai tanda berserah diri kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala. Demikian besarnya peranan tawaf dalam amalan haji dan umrah, sehingga Allah Subhanahu wa Ta'ala menjadikan amalan pertama yang dilakukan seorang yang menunaikan ibadah haji dan umrah ketika memasuki Masjidil Haram adalah tawaf. Demikian pula akhir amalan mereka diakhiri dengan Tawaf Wada’. Telah diriwayatkan dalam Al-Bukhari dan Muslim dari hadith `Aisyah radhiyallahu 'anha dia berkata:

“Sesungguhnya yang pertama Rasulullah shallallahu 'alaihi wa sallam memulai dengannya ketika datang adalah berwudhu kemudian tawaf.”

Ini juga menunjukkan bahwa tawaf di Ka’bah merupakan ibadah yang mulia dan ketaatan yang amat besar, amalan yang sangat dicintai Allah Subhanahu wa Ta'ala. Sehingga seseorang tidak diperbolehkan melakukan tawaf di suatu tempat (selain Ka’bah) dengan maksud bertaqarrub kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala. Syaikhul Islam Ibnu Taimiyyah rahimahullah berkata: “Kaum muslimin telah bersepakat bahwa tidak disyariatkan tawaf kecuali di Al-Baitul Ma’mur (Ka’bah). Sehingga tidak boleh tawaf di batu besar Baitul Maqdis, tidak di kamar Nabi sallallahu 'alaihi wa sallam, tidak di kubah yang ada di bukit Arafah, dan tidak pula di tempat lainnya.” (Majmu’ Fatawa, 4/522)

Beliau rahimahullah juga berkata: “Di bumi ini, tidak ada sebuah tempat yang dibolehkan tawaf padanya seperti tawaf di Ka’bah. Barangsiapa berkeyakinan bahwa tawaf di tempat lainnya disyariatkan maka dia lebih jahat dari orang yang meyakini bolehnya solat menghadap selain Ka’bah. Sebab Nabi sallallahu 'alaihi wa sallam tatkala berhijrah dari Makkah ke Madinah, beliau solat memimpin kaum muslimin selama 18 bulan menghadap ke Baitul Maqdis, yang menjadi kiblat kaum muslimin selama kurun waktu tersebut. Lalu Allah Subhanahu wa Ta'ala pindahkan kiblat ke arah Ka’bah dan Allah Subhanahu wa Ta'ala turunkan Al-Qur`an tentang hal tersebut, sebagaimana yang disebutkan dalam Surat Al-Baqarah. Nabi shallallahu 'alaihi wa sallam bersama kaum muslimin solat menghadap ke Ka’bah yang telah menjadi kiblat, dan itu adalah kiblat Ibrahim dan para nabi selainnya. Maka barangsiapa yang menjadikan sakhrah (batu besar di Baitul Maqdis) pada hari ini sebagai kiblat yang dia solat menghadap ke arahnya, maka dia kafir murtad dan diminta bertaubat. Jika tidak mahu maka dia dibunuh. Padahal dahulu batu itu berstatus sebagai kiblat. (Al-Fatawa, 27/10-11)

KESIMPULANNYA :

Tidaklah menjadi kesalahan kita melakukan umrah yang sunat untuk kali yang kedua , sekiranya kita mempunyai wang untuk mengerjakan haji tetapi jika dengan sebab kita mengerjakan umrah maka kita tidak mempunyai wang untuk mengerjakan haji maka itu adalah salah dan mungkin jadi haram..

Walaubagaimanapun sekiranya kita nak kerjakan umrah sunat tetapi kalau ada jiran atau saudara mara kita memerlukan kewangan maka lebeh baik kita bantu mereka kerana itu keperluan yang lebeh mendesak . Dalam pada itu kalau kita nak juga pergi melancung ke tempat lain maka adalah lebeh baik kita mengerjakan `umrah.

Sekian semoga bermanfaat. WALLAAHU `AA`LAM. Semoga kita semua sentiasa dibimbing, diberkati, dirahmat dan di lindungi ALLAH dari segala musibah.Aamin Yaa Rabbal `aa lamin. Wassalaamu `alaikum warahmatullaahi wabarakaatuh.

Saudaramu sesama Islam

HUKUM WANITA PERGI HAJI DAN UMRAH TANPA MAHRAM

Assalaamu`alaikum warahmatullaahi wabarakaatuh.

Didalam buku saya , ada saya terangkan masalah ini tetapi buat masa ini saya tengah mengeditnya semula dan maaf saya tak boleh kirimkan lagi kepada anda.

Sebenarnya perbahasan ini bukan setakat perbahasan wanita mengerjakan haji atau `umrah tanpa mahram ( bukan muhrim ) sahaja tetapi ianya merangkumi hukum wanita bermusafir bersendirian tanpa ditemani oleh mahram, samada bermusafir untuk mengerjakan haji dan umrah atau bermusafir kemana sahaja.

Dibawah ini saya lampirkan sedutan dari buku saya .

Kata Imam An Nawawi رحمه الله dalam kitab “ Matan Al Iidhah Fil Manasik : Sekiranya dia seorang isteri maka wajib dia minta izin suaminya dan kaum kerabatnya. Sunat bagi suami mengerjakan haji bersama-sama isterinya. Suami berhak menghalang isterinya untuk mengerjakan haji atau `umrah sunat. Sekiranya isteri berihram juga maka suaminya boleh memaksanya bertahallul. Begitu juga haji atau `umrah wajib, suami berhak menghalang isterinya, mengikut pendapat yang azhar kerana isteri wajib mentaati suami dengan segera kerana walau pun haji itu wajib tetapi bukan dengan segera mengikut mazhab Shafi`e . Sekiranya isteri itu telah diceraikan maka suami berhak menahannya dari mengerjakan haji atau `umrah selama dia masih dalam `iddah, kecuali di didalam beberapa keadaan kerana hak suami terhadap isteri itu segera, manakala menunaikan haji fardhu tidak wajib mengerjakannya dengan segera “ .

Namun begitu sebahagian `ulama` tidak sependapat dengan Imam An Nawawi rahimahullah dalam masalah ini.


SYARAT WAJIB HAJI DAN `UMRAH UNTUK WANITA

Menurut `ulama fiqh رحمهم الله lagi , syarat wajib dan `umrah untuk wanita ialah semua yang telah dinyatakan dan ditambah dengan dua syarat yang khusus , iaitu ;-

Orang perempuan tidak wajib mengerjakan haji dan `umrah sehinggalah dia mempunyai suami atau mahram yang boleh menemaninya didalam perjalanan berdasarkan kepada hadith Ibnu `Abbas رضي الله عنه , katanya: Aku mendengar Nabi صلى الله عليه وسلم bersabda : " Seseorang lelaki tidak boleh berdua-duaan dengan seseorang perempuan kecuali bersama mahramnya. Orang perempuan tidak boleh bermusafir melainkan bersama marham. Seorang lelaki berdiri lalu berkata : " Wahai Rasulullah! aku ditugaskan menyertai peperangan ini dan ini sedangkan isteriku hedak mengerjakan haji" Maka sabda Nabi صلى الله عليه وسلم bersabda : " Pergilah dan kerjakan haji bersama isterimu . " ( HR. al-Bukhari, Muslim dan Ahmad bin Hanbal رحمهم الله ).

Mazhab Hanafi dan Mazhab Hanbali رحمهم الله : Mereka meletakkan syarat bahawa wanita tidak boleh keluar ( untuk mengerjakan haji ) melainkan bersama suami atau mahram.

Mazhab Syafie :
`Ulama Mazhab Syaafi'i رحمهم الله menyatakan bahawa jika ada beberapa wanita yang dapat dipercayai mendampingi wanita yang tidak mempunyai suami atau mahramnya mengerjakan haji, maka wanita yang tidak mempunyai suami atau mahram itu wajib mengerjakan haji. Ini bermakna bahawa disyaratkan bersama suami atau mahram atau beberapa orang perempuan yang thiqah ( dipercayai ) dan ada yang berpendapat cukup hanya dengan seorang perempuan yang thiqah sahaja.

Mazhab Maaliki :
Wanita dibolehkan keluar untuk mengerjakan haji dengan ditemani oleh seorang perempuan yang dipercayai. Dalil `ulama Mazhab Maaliki dan Mazhab Syaafie` رحمهم الله adalah firman الله dalam surah Aali 'Imran (3) ayat 97 di atas.

Menurut mereka, yang dipentingkan oleh ayat ini adalah keamanan bagi orang yang akan mengerjakan haji. Apabila keamanan wanita itu terjamin, maka dia wajib mengerjakan haji. Namun begitu ada satu syarat lagi yang mesti dipenuhi iaitu jarak di antara dia dan Makkah adalah perjalanan selama satu hari satu malam dan jika seseorang perempuan menyalahi syarat ini dan mengerjakan haji tanpa ditemani suami atau mahram, hajinya dikira sah tetapi dia berdosa.

Wanita itu pula bukanlah yang dalam keadaan menjalani masa `iddah, samada `iddah kerana talak atau pun `iddah kerana kematian suami. Syarat ini didasarkan atas firman الله dalam surah at- Talaq (65) ayat 1:
"...Janganlah kamu keluarkan mereka dari rumah mereka dan janganlah mereka diizinkan keluar..."

Dalam pada itu `ulama Mazhab Hanbali رحمهم الله membolehkan wanita yang dalam menjalani `iddah talak mengerjakan haji, tetapi melarang wanita yang kematian suami mengerjakan `ibadah haji. Alasan mereka ialah wanita yang sedang menjalani `iddah wafat wajib untuk tetap berada di rumah mereka, sebagai penghormatan terhadap suami mereka yang baharu meninggal. Sedangkan bagi wanita yang di talak tidak demikian. Wanita yang di talak suaminya, menurut mereka, tidak semestinya sentiasa di rumah, tetapi mereka dibolehkan bermusafir, khususnya dalam rangka menunaikan berbagai kewajipannya. Oleh sebab itu, apabila wanita yang di talak ini telah memenuhi syarat-syarat untuk melaksanakan `ibadah haji, maka wajib bagi mereka melaksanakan `ibadah haji, sebagaimana yang berlaku pada wanita yang tidak ber`iddah.

Ada juga ulama' رحمهم الله yang berpendapat cukup seorang wanita sahaja yang menjadi teman asalkan aman didalam perjalanan. Menurut pendapat yang lain mesti ada ramai wanita yang menemani.

As San'aani رحمه الله dalam kitab “ Subulus Salam “ menerangkan bahawa : “ Segolongan ulama' رحمهم الله berpendapat bahawa wanita yang telah tua boleh bermusafir tanpa mahram “.
Ulama` yang membolehkan wanita bermusafir tanpa mahram atau suami sekiranya ditemani oleh orang yang dapat dipercayai atau perjalanannya dianggap aman berdalilkan dengan hadith :
" Ketika aku bersama Rasulullah صلى الله عليه وسلم tiba-tiba dating seorang lelaki mengadu tentang kemiskinannya. Kemudian datang lagi seorang lelaki mengadu tentang halangan-halangan di perjalanan. Jawab Nabi صلى الله عليه وسلم : Hai `Adi! adakah engkau telah melihat kampung HAIRA, sebuah kota dekat Kufah ? `Adi menjawab : Saya belum pernah melihatnya tetapi pernah orang menerangkan kepadaku tentangnya. Nabi صلى الله عليه وسلم berkata : " Jika engkau hidup lama, nescaya engkau akan melihat usungan wanita yang berangkat dari Haira menuju Makkah dan bertawaf mengelilingi Ka'abah, tak ada yang ditakuti selain الله ."

Dan juga berdasarkan peristiwa isteri-isteri Rasulullah رضي الله عنهن telah pergi berhaji setelah diizinkan oleh `Umar رضي الله عنه , ketika kali terakhir `Umar berhaji , dengan ditemani oleh `Uthman Ibnu `Affan dan `Abdul Rahman Ibnu `Auf رضي الله عنهما. `Uthman رضي الله عنه melarang para jemaah mendekati rombongan isteri-isteri Rasulullah dan memandang mereka, sedang mereka duduk di atas usungan yang diletakkan di atas belakang unta.

Walau bagaimana pun sekiranya para wanita menyalahi aturan itu, iaitu pergi berhaji tanpa suami atau mahram yang dianggap wajib oleh sebahagian ulama' رحمهم الله , bahkan dijadikan syarat wajibnya haji, maka hajinya itu sah.

Kata pengarang kitab Subulus Salam : “ Ibnu Taimiyah رحمه الله berkata : " Sah haji yang dilakukan oleh wanita yang tidak disertai mahramnya dan haji yang dikerjakan oleh orang yang dipandang tidak sanggup mengerjakan haji. "

WALLAAHU `AA`LAM.

Harap penjelasan ini bermanfaat. Kepada ALLAH saya berserah . Semoga ALLAH membimbing kita semua kearah jalan yang benar. Aamin.

HUKUM BERSENTUH ANTARA LELAKI DAN WANITA AJNABI SEWAKTU TAWAF

Masalah Yang Dihadapi Jemaah Yang Bermazhab Shafie` SEWAKTU TAWAF

Kita sering mendengar rungutan dari jemaah haji dan `umrah yang bermazhab Shafi`e terutamanya yang datang dari Malaysia dan Indonesia. Mereka sangat berhati-hati takut wudhu` terbatal ketika tawaf. Ada yang menyarankan supaya bertaqlid mengikut ) mazhab yang lain dan ini dibolehkan kerana dharurat. Caranya ialah mengambil wudhu` mengikut cara mazhab yang ingin diikuti dan inilah yang kita lihat di dalam kebanyakan buku-buku yang dikarang tentang haji dan umrah.Sebenarnya kita tidak perlu mengikut mazhab yang lain kerana dalam mazhab Shafi`e sendiri terdapat 2 pendapat tentang masalah bersentuh diantara lelaki dan wanita seperti yang telah dikemukakan oleh Al Imam An Nawawi رحمه الله ,seorang ulama besar mazhab Shafi`e. Walau pun hanya segelintir sahaja ulama` Shafie` رحمهم الله yang mengatakan tidak membatalkan wudhu` namun kita boleh menerima pakai pendapat ini kerana dharurat apatah lagi jumlah yang mengunjungi Kaa`bah berganda-ganda ramainya dari zaman Al Imam An Nawawi dan ulama yang sebelumnya رحمهم الله . Dalam pada itu jumhur `ulama ( kebanyakan ulama`) termasuk Imam-imam mazhab kecuali Imam Shafi`e sahaja, berpendapat bahawa tidak batal wudhu` bersentuhan diantara lelaki dengan perempuan. والله أعلمKita sering mendengar rungutan dari jemaah haji dan `umrah yang bermazhab Shafi`e terutamanya yang datang dari Malaysia dan Indonesia. Mereka sangat berhati-hati takut wudhu` terbatal ketika tawaf. Ada yang menyarankan supaya bertaqlid mengikut ) mazhab yang lain dan ini dibolehkan kerana dharurat. Caranya ialah mengambil wudhu` mengikut cara mazhab yang ingin diikuti dan inilah yang kita lihat di dalam kebanyakan buku-buku yang dikarang tentang haji dan umrah.Sebenarnya kita tidak perlu mengikut mazhab yang lain kerana dalam mazhab Shafi`e sendiri terdapat 2 pendapat tentang masalah bersentuh diantara lelaki dan wanita seperti yang telah dikemukakan oleh Al Imam An Nawawi رحمه الله ,seorang ulama besar mazhab Shafi`e. Walau pun hanya segelintir sahaja ulama` Shafie` رحمهم الله yang mengatakan tidak membatalkan wudhu` namun kita boleh menerima pakai pendapat ini kerana dharurat apatah lagi jumlah yang mengunjungi Kaa`bah berganda-ganda ramainya dari zaman Al Imam An Nawawi dan ulama yang sebelumnya رحمهم الله . Dalam pada itu jumhur `ulama ( kebanyakan ulama`) termasuk Imam-imam mazhab kecuali Imam Shafi`e sahaja, berpendapat bahawa tidak batal wudhu` bersentuhan diantara lelaki dengan perempuan. والله أعلم

Friday, April 6, 2007

UMRAH DAN ZIARAH JORDAN/BAITUL MAQDIS 2007

Assalaamu`aalaikum warahmatullaahi wabarakaatuh. , Muslimin dan muslimat,

Sekiranya anda berminat untuk mengerjakan umrah maka disini saya mengajak anda semua mengerjakan umrah sambil melihat kesan peninggalan umat silam yang telah dihancurkan ALLAH. Firman ALLAH : " Apakah mereka tidak mengembara diatas muka bumi ini melihat balasan yang ALLAH telah timpakan ke atas ummah yang terdahulu yang telah mendustakan ayat-ayat ALLAH"

Mengerjakan umrah merupakan hasrat setiap muslim dan muslimah. Namun begitu ramai yang telah mengerjakan umrah menyangka ibadah yang mereka laksanakan sudah menepati apa yang di lakukan oleh Nabi Sallallaahu`alaihi wasallam. Sewaktu mengerjakan umrah mereka membaca atau menghafaz semua doa' yang dimuatkan didalam kitab- kitab haji dan umrah yang melambak dijual di kedai-kedai buku. Adakah ini yang dituntut ketika mengerjakan umrah sedangkan hanya sebilangan kecil sahaja doa' yang diamalkan oleh Nabi Sallallaahu` alaihiwasallam, apakah doa-doa itu ? Adakah boleh kita menyaringkan suara sewaktu tawaf sebagaimana dilakukan oleh sebahagian jama'ah atau para Mutawwif ( Pembimbing ), yang dapat mengganggu orang lain yang sedang khusyu` melakukan tawaf ? Inilah yang menjadi salah satu sebab mengapa saya mengajak anda semua mengerjakan umrah bersama saya.

Pada tahun ini, insha` ALLAH saya mula bercuti pada 11.3.07 sehingga 12.6.07. Cadangan saya nak mengerjakan umrah sambil melawat Jordan untuk melihat laut mati, ashabul kahfi dan lain-lain lagi. Saya pernah ke Jordan pada tahun 1994, 1995,1996 . 3 Kali pergi ke Jordan dalam perjalanan ke Makkah. Saya pergi ke Jordan kerana orang-orang yang ikut saya nak melawat Baitul Maqdis. Alhamdulillah kami dapat melawat Baitul Maqdis tahun 1995 dan 1996.

Setelah itu pada cuti sekolah bulan Mei , insha` ALLAH sekali lagi saya akan mengerjakan umrah sahaja atau UMRAH/KAHERAH atau UMRAH/JORDAN dan mungkin melalui Jordan juga atau berpecah sekirany, tertakluk kepada permintaan. Kalau ramai ramai yang nak ikut serta, satu group ke Makkah sahaja dan satu group lagi Umrah dan ziarah ke negara Arab yang lain .

Walaubagaimana pun saya lebih suka kalau anda ikut saya pada hujung March atau bulan April ini kerana pada musim cuti sekolah, selain harga tiket naik 200RM – 300RM, jemaah umrah juga sangat ramai nanti terutamanya dari Malaysia. Mengikut perangkaan tahun-tahun lepas seramai 15000 rakyat Malaysia membanjiri Makkah pada musim cuti sekolah Mei/Jun,


Ada orang takut nak masuk Baitul Maqdis kerana tidak aman. Ramai orang yang tak faham. Sebenarnya Baitul Maqdis ialah sebuah daerah. AlMasjidil Aqsa terletak dalam daerah Baitul Maqdis Lama ( Old jurusalem). Al Masjidil Aqsa adalah kawasan yang selamat. Kalau tak selamat awal-awal lagi ( sebelum memasuki Baitul Maqdis ) kerajaan Jordan akan menutup boarder. Bayaran untuk ke Baitul Madis pula mahal. Sewaktu saya pergi tahun 1995 dahulu saya dan 14 orang lagi jemaah kena bayar 200USD untuk pakej 3 hari 2 malam di Baitul Maqdis, manakala tahun 1996 pula, saya dan 10 orang lagi jemaah dikenakan bayaran 150USD untuk 2 hari 1 malam . Yang mahal sebenarnya wang hangus, iaitu cukai masuk 27USD, cukai keluar 25USD dan bayar kepada kementerian Dalam negeri Jordan (boader tax ) 20USD. Kalau tak ada cukai2 ini memang murah harganya.

Saya rasa amat gembira bila pertama kali dapat menjejakkan kaki ke AlMasjidil Aqsa kerana memang saya bercita-cita sejak kecil lagi untukmelawatnya , setelah tok guru dipondok saya belajar di Kelantan menceritakan kisah lawatannya ke Baitul Maqdis pada tahun 1965. Ketika itu Baitul Maqdis masih dibawah kawalan kerajaan Jordan. Hanya pada tahun 1967 kerajaan Yahudi merampasnya dalam perang 6 hari sahaja. Sungguh sayang tempat suci ketiga jatuh ke tangan yahudi laknatullaah. Saya rasa sayu sewaktu berada dalam Al Masjidil Aqsa untuk menunaikan solat maghrib dan`isha`. Lama saya terpaku , amat sedih sekali, sama seperti kali pertama kita terpaku dihadapan Kaa`bah. Keesokannya saya mendengar azan sayup dari Al Masjidil Aqsa dan saya nak pergi solat di sana tetapi penjaga hotel tempat kami menginap menasihatkan agar bersolat di masjid berdekatan kerana bimbangkan keselamatan, maklumlah tengah gelap dan untuk ke Al Masjidil Aqsa kita mesti masuk kota lama Baitul Maqdis ,melalui rumah-rumah lama dan lorong-lorong yang berliku, seolah-olah kita hidup beratus-ratus tahun yang lampau. Saya tak puas tinggal diBaitul Maqdis 2 malam, sedih rasanya meninggalkan Baitul Maqdis , sama sedihnya ketika saya nak kembali ke tanah air selepas tamat belajar diMadinah 20 tahun dahulu. Insha` ALLAH, saya berazam, kalau panjang umur, sekiranya Baitul Maqdis jatuh ke tangan umat Islam kembali ,saya bercadang nak tinggal sebulan di sana. Mengikut hadith apabila yahudi di usir keluar dari Baitul Maqdis, itu tandanya amat hampir dengan qiamat.

Saya ini bukan travel agensi , Saya sendiri yang uruskan makan minum dan pengangkutan semasa di Tanah suci. Dalam erti kata lain macam backpack juga. Untuk lawatan kita boleh bincang bila nak melawat ke tempat-tempat bersejarah di Makkah dan Madinah. Begitu juga penginapan, nak yang murah, yang mahal semua boleh .

Sejak tahun 1994 hingga tahun lepas kami bermalam di Madinah 3 malam kerana tak puas 2 malam, lebih-lebih lagi saya pernah tinggal selama 6 tahun di Madinah. Pernah saya bermalam 4 malam di Madinah, rasanya sebanyak 2 kali. Tahun ini tak tahu lah nak tinggal berapa malam di Madinah. Kalau mahal sangat 3 malam sahaja lah nampaknya. Harga hotel di Makkah pula mengikut kategori, ianya lebih murah dari Madinah. Kos pengangkutan pula seperti berikut:
Bas Besar ( 45 passengers ) : 2500RM
Coaster ( 25 passengers ) : 1700RM
Van/GMC : 1200RM
Ini ialah harga pada tahun-tahun lepas. Pada tahun ini rasanya tidak berubah.
Kos pengangkutan juga bergantung kepada bilangan jemaah. Kalau jemaah ramai dapat jimatkan kos tetapi kalau sedikit susah lah nak cover. Begitu juga penginapan , kalau ramai mungkin 1 atau 2 orang dapat percuma.

Sekiranya rombongan kita dalam lingkngan 18 orang ke atas biasanya saya sewa bas besar yang bermuatan 45 orang kerana ianya lebih selesa.

Tentang penginapan pula memang sejak dahulu lagi kami menginap di bilik yang mempunyai bilik air didalamnya, bermakna bilik air tidak berkongsi dengan orang dari bilik yang lain.Yang mana berkelamin saya letakkan 2 orang sebilik.
Ceramah atau tazkirah akan diadakan dan disampaikan oleh saya sendiri, insha` ALLAH.

Dengan ini saya mengajak sesiapa yang berminat nak ikut serta boleh lah e mail kat saya secepat mungkin kerana saya bercadang nak pergi pada hujung Mei atau bulan April .
Seperti yang saya jelaskan kalau makin ramai makin murah kerana boleh cover bayaran bas.


Sekian semoga penjelasan saya ini bermanfaat.Semoga kita semua dibimbing ALLAH.

Wassalaamu`alaikum warahmatullaahi wabarakaatuh

Saudaramu sesama islam
naasiha@yahoo.com